Perkara tentang pinjaman yang MESTI anda ketahui sebelum membeli rumah
Anda bercadang untuk membeli sebuah kediaman. Apakah tindakan seterusnya? Pertama sekali, anda perlu mengambil pinjaman bank. Bagaimana caranya untuk memilih pinjaman terbaik memandangkan ada banyak institusi kewangan yang menawarkannya? Berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan semasa memilih pinjaman kediaman:
Jenis pinjaman yang ditawarkan
Sesetengah bank menggunakan istilah menarik untuk pinjaman perumahan yang ditawarkan. Namun begitu, secara amnya terdapat dua jenis pinjaman utama.
1.Pinjaman bertempoh tradisional
Ia merupakan pinjaman yang tidak rumit di mana amaun pinjaman diambil kira, dicampur faedah dan seterusnya ditetapkan jumlah ansuran bulanan. Amaun bayaran yang termasuk faedah itu adalah tetap dan anda perlu membayarnya sepanjang tempoh pinjaman. Ia sesuai bagi mereka yang tidak sukakan kadar faedah turun naik dan ingin tahu ansuran yang perlu dibayar. Namun begitu, pinjaman ini tidak fleksibel kerana sekalipun anda mempunyai lebihan wang dan membayar lebih untuk ansuran bulanan, lebihan bayaran itu tidak akan mengurangkan baki atau caj faedah.
2.Pinjaman fleksi
Pinjaman jenis ini memberi anda lebih fleksibiliti dan ia berbeza mengikut bank yang menawarkannya. Pinjaman sebegini benar-benar fleksibel dan faedah biasanya dikira secara harian. Biasanya, ia dikaitkan dengan akaun bank anda. Anda hanya perlu meneruskan pembayaran. Lebih banyak baki
di dalam akaun, lebih rendah kadar faedahnya. Buatlah perbandingan terlebih dahulu untuk mendapatkan pinjaman terbaik daripada sesebuah bank sebelum membuat keputusan muktamad.
3.Berapa banyak yang anda boleh pinjam
Istilah yang lazim digunakan untuk amaun yang anda pinjam ialah margin pembiayaan. Secara amnya, bank akan memberi pinjaman di antara 80-90% daripada harga yang dinilaikan. Ada ketikanya, harga pasaran sesebuah hartanah itu lebih tinggi daripada penilaian bank, oleh itu dapatkan harga yang dinilaikan sebelum membuat keputusan muktamad agar amaun bayaran balik sesuai dengan kemampuan anda, atau setidak-tidaknya anda perlu mempunyai lebih daripada 10-20% bayaran pendahuluan biasa untuk kediaman anda.
Selain itu, pihak kerajaan turut menawarkan skim yang boleh mengubah margin pembiayaan seperti My First Home yang membolehkan anda mendapat pinjaman sehingga 100% untuk pembelian kediaman pertama daripada bank-bank yang mengambil bahagian. Ambil perhatian bahawa bukan mudah untuk mendapat pinjaman ini kerana semua orang inginkannya, namun setidak-tidaknya anda mempunyai pilihan ini.
Cetak halus (caj bayaran lewat, tempoh lock-in)
Sesuatu pinjaman turut mengenakan terma dan syarat tertentu seperti caj pembayaran lewat dan tempoh
lock-in. Pastikan anda benar-benar memahaminya terlebih dahulu.
Caj pembayaran lewat biasanya dikenakan apabila anda membayar ansuran bulanan lewat daripada tarikh yang ditetapkan. Pastikan anda mengetahuinya agar tidak perlu membayar lebih daripada yang sepatutnya.
Tempoh lock-in pula merujuk kepada faedah tambahan yang perlu dibayar sekiranya anda ingin membayar sepenuhnya pinjaman perumahan atau membatalkan pinjaman sebelum tempohnya berakhir. Bertanyalah kepada pihak bank mengenai tempoh ini dan amaun faedah yang perlu ditanggung.