5 sebab mengapa ramai orang masih melabur dalam hartanah
Masih ramai yang memilih untuk melabur dalam hartanah meskipun terdapat khabar angin yang mengatakan pasaran hartanah akan merudum. Berikut adalah beberapa sebab mengapa pelaburan dalam hartanah masih popular tanpa mengira peringkat usia.
Aset material
Hasil yang dapat dilihat selepas melabur sebahagian besar wang sememangnya dinanti-nantikan. Pelaburan bagi memiliki hartanah sememangnya memberi kepuasan dan rasa bangga yang tidak dapat digambarkan. Aset ketara seperti ini turut memberi anda jaminan kehidupan dan keselamatan jika dibandingkan dengan pelaburan lain yang membuatkan anda terpaksa bergantung kepada perunding. Bila tiba masanya, anda akan dapat melihat sendiri pelaburan tersebut berdiri megah, bukannya sesuatu yang tidak dapat dilihat atau disentuh.
Mudah difahami
Pelaburan dalam hartanah lebih mudah difahami jika dibandingkan dengan pelaburan lain seperti saham dan bon. Ia juga lebih stabil dan mudah diceburi kerana pelaburan hartanah tidak ubah seperti membeli barangan. Kebanyakan orang merasakan ia kurang berisiko memandangkan prosesnya mudah. Berdasarkan kelaziman, ramai berpendapat yang pelaburan ini akan memberi pulangan pada masa depan.
Mudah untuk memulakannya
Melabur dalam hartanah sememangnya memerlukan pengetahuan kerana ia membolehkan anda membuat keputusan yang tepat. Namun begitu, untuk menjadi pelabur hartanah anda tidak perlu menjadi seorang pakar dalam bidang tersebut. Malah, dengan membuat penyelidikan, baik secara dalam talian atau berkunjung sendiri ke lokasinya, anda boleh mengenal pasti pilihan yang bersesuaian dan mula merancang pelan pelaburan.
Semua orang boleh melabur
Sama ada anda mampu berbelanja besar atau mencari yang lebih murah, pasti ada hartanah yang sesuai untuk anda di pasaran. Segalanya bergantung kepada lokasi yang anda pilih, meskipun terdapat ramalan yang harga hartanah akan melambung. Hartanah di kawasan-kawasan utama sudah semestinya mahal, namun anda masih boleh mendapatkan hartanah yang sepadan dengan tahap kewangan dan kemampuan risiko anda sekiranya anda mencari di projek pembangunan baru di kawasan pinggir bandar.
Lebih stabil
Pelaburan hartanah lebih stabil berbanding dengan bentuk pelaburan lain. Ia mungkin disebabkan banyak usaha yang perlu dilakukan sebelum anda boleh melabur dalam sesebuah hartanah. Baki akaun bank anda, penilaian kredit, tempoh penyelesaian dan pelbagai peraturan yang dikawal selia oleh kerajaan menyukarkan mana-mana pihak untuk menjadikannya pelaburan jangka pendek yang boleh menyebabkan pasarannya turun naik tidak menentu. Bukan mudah untuk anda membeli dan menjualnya sesuka hati kerana banyak usaha yang perlu dibuat sebelum membeli hartanah. Ini membuatkan anda perlu memikirkan dan merancang dengan teliti terlebih dahulu. Ini merangkumi semua pelabur hartanah. Memandangkan kerajaan mengenakan peraturan yang memaksa anda membayar cukai tambahan sekiranya menjual hartanah terlalu cepat, pasarannya tidak akan mudah berubah seperti pasaran saham.