Anda pelabur bijak sekiranya melabur pada usia muda
Tiada istilah terlalu muda untuk mula melabur. Melabur dalam hartanah pada usia muda mungkin dianggap sebagai bercita-cita besar, namun kelebihannya jauh mengatasi kekurangannya. Pelaburan sedemikian sudah pasti perlu dirancang rapi bagi memastikan anda mempunyai dana secukupnya. Sekiranya anda mampu berbuat demikian, pertimbangkanlah untuk melabur pada usia muda. Mengapa anda harus melabur awal?
Masa membolehkan tanggungan risiko
Sekiranya mula melabur pada usia muda, anda mempunyai kelebihan dalam mengambil risiko. Sekiranya mengalami kegagalan pelaburan, anda masih mempunyai banyak masa untuk bangkit semula berbanding dengan usia yang lebih tua dan terpaksa bersikap lebih berhati-hati menanggung risiko disebabkan faktor usia.
Pulangan berganda
Sekiranya anda melabur secara berterusan dengan keuntungan pelaburan yang diperolehi, anda akan dapat melihat pulangan pelaburan anda bertambah dengan lebih cepat. Inilah kelebihan utama menggunakan masa untuk meningkatkan nilai wang. Semua bentuk pelaburan, sama ada pelaburan biasa ataupun simpanan persaraan akan memberi manfaat yang berganda.
Disiplin perbaiki amalan perbelanjaan
Sekiranya anda melabur pada usia muda, anda akan berbelanja dengan cara berdisiplin kerana anda terpaksa memberi tumpuan kepada cara berjimat dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Ini membolehkan anda mengatasi keinginan berbelanja mengikut kemahuan dan akhirnya memperoleh lebih banyak dana untuk melabur.
Kualiti kehidupan
Awal melabur mengelakkan anda daripada membuat keputusan berisiko pada kemudian hari, semata-mata untuk menikmati tempoh persaraan yang stabil. Anda akan berasa kurang tertekan dan memiliki simpanan yang lebih banyak. Anda juga akan menikmati persaraan yang stabil kerana telah banyak menyimpan, walaupun anda tidak membuat sebarang pelaburan baru di kemudian hari.
Kewangan peribadi meningkat
Sungguhpun anda terpaksa berjimat-cermat pada usia muda, hasilnya amat berbaloi di kemudian hari. Pelaburan anda akan meningkat pantas dan anda akan mampu memiliki barang-barang yang hanya mampu diimpikan oleh rakan-rakan sebaya anda. Simpanan tersebut juga boleh membantu anda apabila berhadapan dengan kesukaran kewangan sepanjang hayat anda.
Memandangkan anda kini berhasrat membuat pelaburan pada usia muda, di mana anda patut melabur? Berikut adalah beberapa pelaburan yang anda boleh pertimbangkan pada seawal usia 20an.
Persaraan
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah salah satu dana persaraan terbaik yang diwajibkan oleh kerajaan. Ia merupakan salah satu persediaan persaraan anda, satu cara terbaik mengecapi alam persaraan menerusi sumbangan caruman majikan anda. Sekiranya anda ingin menikmati lebih lagi di masa hadapan, anda boleh melabur dalam dana-dana persaraan lain seperti melabur dalam bon cip biru dan saham-saham biasa.
Hartanah
Sektor hartanah merupakan salah satu pelaburan popular yang sewajarnya anda manfaatkan dengan kelebihan usia muda. Malah, sesetengah golongan muda yang berjaya menyedari kelebihan melabur dalam hartanah pada usia muda. Mereka membeli hartanah dan menyewakannya untuk memudahkan bayaran pinjaman. Anda disarankan mengambil kira kadar pasaran hartanah semasa dan aliran tunai anda untuk menguruskan pelaburan. Namun begitu, pelaburan dalam hartanah biasanya merupakan salah satu pelaburan yang paling selamat.
Dana kecemasan
Terdapat beberapa pelaburan jangka pendek untuk mendapatkan wang tambahan sebagai simpanan tunai anda. Pelaburan sebegini seperti sijil deposit jangka pendek, dana pasaran wang dan akaun simpanan boleh memberi anda dana kecemasan apabila anda memerlukannya di kemudian hari.