Memiliki sebuah kediaman bukan sekadar menandatangani perjanjian dan menerima kunci. Ia merupakan suatu yang membanggakan, malah menimbulkan rasa tanggungjawab kerana anda telah berjaya memiliki kediaman sendiri. Berbeza pula halnya dengan memastikan kediaman tersebut sentiasa cantik dan bersih kerana anda mungkin berasa teruja atau menganggapnya sesuatu yang rumit. Sekiranya anda ingin berbangga dengan kediaman yang anda miliki dan mahu memastikannya sentiasa cantik dan selesa untuk keluarga dan rakan-rakan, ikutilah 5 cara berikut yang menjimatkan.
Perbaharui perabot dan lekapan
Walau sebaik mana sekalipun anda menghias ruang dalaman, suatu ketika kelak ia pasti kelihatan hambar. Anda tidak perlu berbelanja besar membuat hiasan dalaman sekali lagi, sebaliknya ubahlah beberapa perkara kecil yang boleh mendatangkan perbezaan ketara.
1.Tukar permaidani anda
Sekiranya permaidani anda sudah lusuh dan luntur, dapatkan yang baru untuk kediaman anda. Pilihlah yang berwarna biasa atau tanpa corak kerana anda mungkin boleh menggunakan semula permaidani tersebut sekiranya anda menukar perabot.
2.Dapatkan lukisan dan bingkai
Penambahan kecil seperti koleksi gambar hitam putih di dinding atau sekeping lukisan bersaiz besar boleh menyerlahkan kediaman anda. Pilih ruang yang sesuai untuk menjadi dinding utama di mana tumpuan adalah pada bingkai. Anda juga boleh meletakkan sebuah meja kecil yang dihiasi bunga-bungaan segar dan kudapan.
3.Tukar langsir anda
Sepertimana permaidani, langsir baru juga dapat mengindahkan kediaman anda. Dapatkan langsir yang ranggi agar nampak terserlah, atau gunakan langsir jarang untuk menimbulkan suasana yang lembut dan ceria. Pastikan perabot anda berwarna lembut sekiranya anda ingin menggunakan langsir yang ranggi.
4.Susun semula kedudukan perabot anda
Bosan dengan keadaan sedia ada? Ubah kedudukan perabot dan lihat perbezaannya. Inilah cara paling jimat untuk menghias kediaman anda, malah boleh dilakukan pada bila-bila masa, sekalipun sebelum tetamu datang berkunjung.
5.Beri wajah baru kepada perabot lama
Daripada membuang perabot lama seperti sofa atau kerusi yang masih boleh digunakan, hantarkan ia ke kedai upholsteri. Sebagai contoh, dengan membuat upholsteri baru pada kerusi berlengan yang lapuk reka bentuknya, ruang dalaman kediaman akan kelihatan berbeza sekiranya kena dengan caranya.
6.Warna menceriakan suasana
Warna bukan sahaja boleh menjadikan perabot kelihatan berbeza, malah dinding anda juga. Mengecat semula dinding boleh memberi perubahan ketara, sekalipun warna putih. Ada pelbagai rona warna yang boleh dipilih, malah anda juga boleh menggunakan kertas dinding untuk bahagian dinding tertentu agar menjadi dinding utama.
7.Kemaskan kediaman anda
Masih ingat betapa kemas dan menariknya rumah contoh yang pernah anda kunjungi? Kediaman anda juga boleh kelihatan sedemikian sekiranya anda meluangkan sedikit masa mengemas rumah setiap hari. Sekiranya anda mengemas semula barangan yang berselerak dan membuang apa sahaja yang tidak diperlukan setiap hari, anda tidak akan berasa cemas dan rimas. Ruang dalaman kemas, kediaman jadi kelas.
8.Dapatkan bantuan
Sekiranya terlalu banyak barangan yang perlu dikemas dan dibuang serta menyukarkan anda, jangan bimbang! Anda boleh mengupah orang membantu anda mengemasnya untuk sehari. Setelah ruang dalaman anda menjadi kemas, jadikanlah amalan mengemas sedikit setiap hari sebagai rutin harian anda.