Sejak dahulu lagi, ketua keluarga bertanggungjawab memenuhi perbelanjaan ahli keluarganya. Dia bukan sahaja perlu menyediakan segala keperluan asas, malah sebuah rumah sebagai tempat tinggal keluarganya. Sekiranya ingin menjadi ketua keluarga yang pintar, dia perlu membuat beberapa pelaburan bijak bagi memastikan masa depan keluarganya terjamin.
Pelaburan Hartanah Bijak
Tidak dinafikan, sesetengah orang berpendapat bahawa memiliki kediaman sendiri melibatkan perbelanjaan yang besar. Namun, ini tidak seharusnya mematahkan semangat seseorang ketua keluarga untuk menyediakan kediaman buat keluarganya kerana ia merupakan satu langkah yang bijak.
Oleh itu, mengapakah memiliki sebuah rumah itu amat penting bagi setiap keluarga?
- Tempat berlindung
Rumah ialah tempat berlindung. Ia tidak semestinya mewah atau besar, namun mampu memberi rasa selamat, seronok dan selesa kepada keluarga. Rumah ibarat sebuah syurga, tempat menenangkan diri daripada kesibukan kehidupan harian. - Suasana selamat
Rumah bukan sekadar sebuah bangunan, malah sebuah kediaman yang memberi suasana selamat, suatu keperluan asas, dan ibarat syurga untuk anak-anak anda membesar. Ia juga tempat di mana anda sentiasa memikirkan tentang segala nilai, harapan dan impian anda sebagai ketua keluarga. Andainya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada anda, keluarga anda masih mempunyai rumah untuk meneruskan kehidupan, atau berlindung daripada mata yang sentiasa memerhati. - Aset
Sudah menjadi trend masa kini, hartanah diwariskan sebagai salah satu bentuk aset kepada anak-anak selepas pemergian mereka. Tujuannya tidak lain sebagai tempat berlindung, atau sekurang-kurangnya sebagai suatu bentuk aset sekiranya perlu mendapatkan wang tunai.
Melabur untuk Pendidikan
Pelaburan bukan sekadar melibatkan keperluan material, malah melabur dalam pendidikan juga merupakan satu langkah pintar yang diambil oleh seseorang ketua keluarga kerana ia membuka laluan yang luas kepada generasi seterusnya. Melabur dalam pendidikan tidak semestinya melibatkan pendidikan premium. Apa yang penting ialah mengutamakan pendidikan anak-anak berbanding keperluan material mewah yang lain. Pendidikan yang baik membolehkan anak-anak berpeluang untuk berdikari pada masa hadapan, membuat keputusan yang wajar dan berpandangan luas terhadap kehidupan.
Melabur untuk Perwatakan Baik
Sungguhpun keperluan fizikal dan material adalah penting, ia perlu disokong dengan pembinaan perwatakan yang baik kepada anak-anak agar aset-aset material yang diwariskan kepada mereka tidak menjadi sia-sia selepas pemergian ketua keluarganya. Malah, perwatakan yang baik memberi banyak kelebihan. Ia memastikan keluarga selamat dan terlindung daripada segala pengaruh buruk. Ingin mengetahui cara melabur dalam perwatakan yang baik? Secara amnya, kanak-kanak belajar daripada teladan. Sekiranya anda menunjukkan teladan yang baik, anda dapat menyemai perwatakan yang baik, lebih cepat daripada ilmu pengetahuan.