Sejak sekian lama, persoalan sama ada membeli atau menyewa rumah itu lebih baik daripada sudut kewangan hangat dibincangkan. Selain daripada kemampuan untuk membeli rumah, anda perlu pertimbangkan kebaikan dan keburukannya sebelum membeli. Ada yang berpendapat menyewa memberi kelebihan kewangan manakala bagi satu pihak lagi, membeli rumah memberi lebih nilai untuk wang. Tiada yang betul atau salah kerana ia sebenarnya bergantung kepada kemampuan anda. Walau apapun keputusan anda, berikut adalah beberapa sebab mengapa anda patut mempertimbangkan untuk membeli rumah dan bukannya menyewa.
Milik anda
Sudah semestinya apabila anda membeli sebuah rumah, ia menjadi kepunyaan anda. Sebab paling penting mengapa anda patut membeli rumah berbanding dengan menyewa ialah anda tetap perlu membelanjakan sejumlah besar wang. Namun, sekalipun anda berbuat demikian setiap bulan, rumah tersebut bukan milik anda. Oleh itu, memandangkan anda memang terpaksa membayar jumlah wang yang sama, mengapa tidak memastikan ia menguntungkan anda dan bukannya orang lain?
Peningkatan nilai
Sebuah rumah berbeza dengan benda-benda material yang lain kerana nilainya akan meningkat, bukan turun. Sekiranya anda mengambil pinjaman dengan kadar faedah yang menarik, sekalipun apabila Kadar Pinjaman Asas (BLR) berubah sedikit, ia masih menguntungkan kerana kadar inflasi untuk pinjaman anda tidak drastik berbanding dengan benda-benda lain disebabkan kawalan ketat oleh Bank Negara. Di samping itu, memandangkan nilainya naik secara konsisten tanpa mengira kadarnya, anda boleh memilih untuk menjual atau membuat pinjaman semula pada bila-bila masa sekiranya anda memerlukan wang.
Memperibadikan ruang anda
Rumah bukan sekadar sebuah hartanah. Ia merupakan kediaman, syurga keluarga anda. Memandangkan rumah ialah tempat anda berehat dan bersantai, anda pasti ingin menghiasnya mengikut citarasa anda. Hasrat ini hanya boleh dipenuhi sekiranya rumah itu milik anda. Anda boleh mengubah suainya menjadi kediaman idaman, sama ada memecahkan dinding untuk mendapatkan lebih ruang ataupun membesarkan bilik tidur.
Keselamatan dan ketenangan
Sekiranya anda menyewa, ada kemungkinan anda terpaksa mencari rumah lain apabila tiba masanya kelak. Tuan rumah mungkin memberi anda notis mengosongkan rumah secara tiba-tiba atau menaikkan sewa. Andainya itu rumah anda, tiada apa yang anda perlu risaukan. Malah, anda boleh berehat dengan tenang kerana anda tahu anda berasa selamat dan selesa.
Faktor emosi
Sukar untuk menggambarkan perasaan apabila impian menjadi kenyataan. Lebih-lebih lagi sewaktu menerima kunci kediaman baru. Anda akan berasa teruja dan puas kerana berjaya memiliki kediaman sendiri serta menyediakan tempat berlindung untuk keluarga anda.