Ingin memiliki rumah baharu? Sebelum membeli, ketahui perkara berikut

Laman Utama / Ingin memiliki rumah baharu? Sebelum membeli, ketahui perkara berikut

Ingin memiliki rumah baharu? Sebelum membeli, ketahui perkara berikut

Menyempurnakan impian memiliki kediaman sendiri yang pertama bukanlah semudah yang disangka kerana ia melibatkan pelaburan kewangan yang besar. Jangan sekali-kali membeli rumah mengikut gerak hati semata-mata. Sebaliknya, pertimbangkan setiap butiran sebelum anda membuat keputusan. Berikut ialah beberapa perkara yang boleh memastikan anda membuat keputusan yang wajar sambil mengelakkan pengalaman yang buruk. 

Pilih ikut kemampuan anda
Walaupun terdapat begitu banyak rumah yang anda boleh pilih, buat pemerhatian yang teliti dan jangan terburu-buru. Anda mungkin berhasrat untuk memiliki sesebuah kediaman yang menjadi idaman, namun anda perlu membuat keputusan yang munasabah dengan membeli rumah yang anda mampu. Petuanya ialah dengan memastikan bayaran pinjaman bulanan dan perbelanjaan rumah bulanan di antara 25-30% daripada pendapatan bersih anda. Rumah yang lebih kecil sekalipun mampu memberi anda ketenangan jika dibandingkan dengan membelanjakan semua pendapatan anda untuk membuat bayaran pinjaman sehingga tiada wang untuk menampung perbelanjaan harian dan simpanan.

Semak segala hutang anda
Sebelum anda memohon pinjaman perumahan, anda perlu menyemak semua hutang anda, termasuk kad kredit. Ada syarat-syarat tertentu yang harus dipenuhi sebelum sesuatu pinjaman itu diluluskan, memandangkan pihak bank perlu memastikan anda mampu membayar pinjaman untuk tempoh yang panjang. Anda mungkin perlu membuat semakan kredit di CCRIS dan CTOS bagi memastikan anda tidak disenarai hitam kerana anda mungkin tidak dapat mendapatkan pinjaman daripada mana-mana bank. 

Pilih pinjaman yang sesuai
Sepertimana terdapat pelbagai pilihan rumah, begitu juga dengan pinjaman. Ada pelbagai pakej pinjaman yang ditawarkan oleh bank-bank. Anda boleh memilih untuk mendapatkan nasihat daripada pihak ejen hartanah memandangkan mereka berpengalaman luas dalam bidang ini ataupun dengan bertanya kepada bank-bank tertentu pilihan anda.

Mulakan amalan menyimpan
Sebelum anda boleh membeli sebuah rumah, anda perlukan wang yang secukupnya untuk bayaran pendahuluan dan perbelanjaan lain. Oleh itu, mulalah menyimpan dan jadikannya sebagai amalan berterusan supaya pembayaran seterusnya tidak tertunggak. 

Kos lekapan dan kelengkapan
Setelah membeli rumah, anda juga perlu mendapatkan kelengkapan yang sesuai untuk menjadikannya kediaman yang selesa. Semua ini memerlukan wang, malah pengubahsuaian kecil sekalipun ada kos yang perlu dipertimbangkan. Jangan dapatkan pinjaman semata-mata untuk tujuan ini. Sebaliknya, cuba dapatkan lekapan dan kelengkapan yang sesuai dengan kemampuan anda. Setelah memiliki sebuah rumah, anda mempunyai banyak masa untuk melengkapkannya menjadi kediaman idaman.

Blog Lain

Scroll to Top